Pengenalan
- Kemenangan calon underdog iaitu Donald Trump dalam pilihanraya presiden AS mengalahkan Hillary Clinton telah mengejutkan pelbagai pihak. Trump memenangi 290 electoral votes berbanding Clinton sebanyak 232 votes. Majoriti mudah yang diperlukan untuk menjadi presiden adalah 270 votes. Walau bagaimanapun, Clinton memenangi undi popular dengan margin tipis iaitu 48% berbanding 47% yang dimenangi Trump.
- Secara umumnya, Trump mendapat sokongan daripada majoriti pengundi lelaki kulit putih (berpendidikan tinggi dan rendah) dan wanita kulit putih (berpendidikan rendah). Clinton pula mendapat sokongan majoriti masyarakat minoriti yang terdiri daripada kulit hitam, hispanic, asian dll. Walau bagaimanapun, sokongan masyarakat minoriti terhadap Clinton menurun berbanding semasa kemenangan Obama dan ini menjadi penyebab kepada kekalahan Clinton. Peratusan tidak keluar mengundi kekal tinggi sekitar 40%.
- Clinton dan Trump dilihat mempunyai kerangka pemikiran dan pendekatan yang berbeza. Clinton dilihat condong kepada interventionism manakala Trump lebih cenderung dengan isolationism.
- Clinton yang mempunyai kecenderungan interventionist berkemungkinan besar akan meningkatkan aktiviti ketenteraan di timur tengah terutamanya di Syria dan Iraq untuk menentang ISIS dan menyokong usaha campurtangan AS dalam politik di timur tengah walaupun melibatkan kos ketenteraan yang besar.
- Trump pula adalah seorang ahli perniagaan yang kurang berpengalaman dalam politik antarabangsa dan timur tengah. Dalam satu temuramah dengan Hugh Hewitt, Trump mengakui bahawa beliau tidak tahu siapakah Hassan Nasrallah, Abu Bakar al-Baghdadi dan tidak boleh membezakan antara Hamas dan Hezbollah.
- Trump dilihat lebih cenderung kepada isu domestik AS dan mementingkan aspek kos dalam menentukan polisi luar AS. Trump menegaskan bahawa AS telah membelanjakan dana yang besar untuk menjaga sempadan dan kepentingan negara lain berbanding memperkuat sempadan AS-Mexico sendiri. Sebagai contoh, Trump mahu NATO dan negara sekutu mereka untuk menggalas beban kewangan yang lebih besar untuk operasi ketenteraan dan pertahanan masing2.
- Trump adalah kritikal terhadap nuclear deal Iran dan telah melabel perjanjian ini sebagai ‘disaster’ kepada US, Israel dan dunia secara amnya. Beliau berjanji akan menghalang US daripada memenuhi komitmen kewangan yang telah dipersetujui dalam perjanjian tersebut.
- Selepas peristiwa tembakan rambang di Orlando, Trump mengejutkan dunia dengan menyeru agar umat Islam dihalang dan diharamkan daripada memasuki AS.
Pendirian
Trump dan Clinton Terhadap Isu Palestin
- Berdasarkan kenyataan dan ucapan yang dibuat oleh Trump dan Clinton terutama semasa persidangan AIPAC, adalah jelas bahawa kedua2 mereka mempunyai pandangan berat sebelah yang pro-Israel.
- Trump dan Clinton secara umumnya bersetuju dengan 2 states solution. Namun, kedua-dua mereka tidak menjelaskan bagaimana perkara ini dapat dicapai atau dilaksanakan. Mereka juga tidak menyatakan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengekang pembinaan penempatan haram Israel di West Bank dan pengunduran tentera Israel ke sempadan 1967. Ini memberi isyarat bahawa mereka cenderung agar perkara ini ditentukan hasil rundingan terus antara Israel dan Palestin.
- Trump bersetuju bahawa rundingan terus (direct negotiation) antara Palestin dan Israel adalah asas kepada mencapai penyelesaian antara kedua belah pihak tanpa melibatkan UN dan komuniti antarabangsa. Trump dengan jelas telah menyatakan akan menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang sebarang resolusi atau syarat daripada dikenakan terhadap Israel oleh UN. Ini bermakna isu-isu penting seperti status Jerusalem, pelarian dan sempadan kedua negara akan ditentukan hasil rundingan antara Palestinian Authority dan Israel. Rundingan terus seperti ini pastinya akan dipengaruhi oleh balance of power antara kedua-dua belah pihak yang terlibat dan tentunya menyebelahi Israel (yang mendapat bantuan ketenteraan daripada AS berbillion dollar). Tanpa tekanan antarabangsa, Israel bebas mengenakan sebarang syarat terhadap Palestin untuk mendapat sebanyak mungkin konsesi.
- Pada Sept 2016 lalu, pentadbiran Obama telah bersetuju untuk memperbaharui kontrak bantuan ketenteraan AS kepada Israel berjumlah $3.1 billion setahun yang akan tamat pada 2019. Menerusi perjanjian baru ini, AS bersetuju untuk meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Israel kepada $3.8 billion setahun sehingga 2029. Trump tidak memberi sebarang komen secara spesifik terhadap perjanjian baru ini dan ianya dijangka tidak berubah dibawah pentadbiran baru Trump.
- Semasa ucapannya di persidangan AIPAC, Trump berjanji akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jerusalem sekiranya memenangi pilihanraya presiden. Namun, berkemungkinan besar, ianya tidak akan ditunaikan dan merupakan janji kosong dihadapan pelobi Zionist.
- Kedua-dua Trump dan Clinton menentang idea penentangan bersenjata (armed resistance) oleh Palestin. Namun, Trump dilihat mempunyai kebencian khusus terhadap penentangan bersenjata dan gerakan islamis berbanding Clinton. Trump menuduh Hamas dan Islamic Jihad menggalakkan keganasan dan menanam kebencian terhadap bangsa yahudi dikalangan kanak2 Palestin. Beliau juga menyalahkan pihak Palestin atas kegagalan rundingan sebelum ini disamping memuji Israel yang konsisten terhadap keamanan.
Kesimpulan
dan Cadangan
- Keputusan pilihanraya AS menunjukkan bahawa rakyat AS lebih mementingkan isu domestik seperti ekonomi, pengganguran, percukaian dan kesihatan berbanding polisi luar AS. Oleh sebab itu, pada jangka masa pendek, pentadbiran Trump dijangka akan memberi fokus kepada isu domestik berbanding polisi antarabangsa.
- AS dibawah pentadbiran Trump dijangka akan terus menyokong Israel melalui (i) bantuan ketenteraan tahunan yang bernilai berbillion dollar dan (ii) sokongan politik dalam UN
- UN Security Council tidak akan memberi pengaruh besar dalam menentukan halatuju pelan perdamaian dan seterusnya mendedahkan pihak Palestin kepada ketidakseimbangan kuasa yang tidak menyebelahi mereka.
- Untuk mendepani cabaran-cabaran di masa hadapan, rakyat dan gerakan pembebasan Palestin perlu:
a. Meneruskan usaha penyatuan antara
dua gerakan utama iaitu Hamas dan Fatah serta menyelesaikan isu representasi
untuk rakyat Palestin.
b. Kekal neutral dan berhati-hati
agar tidak terlibat dalam kancah politik dalaman negara-negara Arab lain.
c. Bersedia terhadap kemungkinan pentadbiran
Trump akan mengenakan tekanan kewangan terhadap negara2 teluk dan seterusnya
mengehadkan bantuan kepada rakyat Palestin dalam usaha memberi tekanan kepada
mereka untuk memberi lebih konsesi dalam rundingan
d. Bersedia terhadap kemungkinan tindakan
agresif terhadap kumpulan pembebasan bersenjata seperti Hamas dan Islamic Jihad
oleh pentadbiran Trump.
e. Bersedia terhadap kemungkinan perubahan
landskap politik timur tengah sekiranya AS mengambil keputusan untuk
mengurangkan penglibatan dalam politik timur tengah yang boleh memberi ruang
kepada dominasi Russia dan Iran.
Dr. Abdul Rahman Mohmad
Aktivis MyCARE
*artikel ini adalah hasil pemerhatian penulis, pembacaan2 berita dan pelbagai artikel yang ditulis pemerhati politik timur tengah
Dr. Abdul Rahman Mohmad
Aktivis MyCARE
*artikel ini adalah hasil pemerhatian penulis, pembacaan2 berita dan pelbagai artikel yang ditulis pemerhati politik timur tengah
No comments:
Post a Comment