Monday 29 September 2008

RAYA! RAYA! RAYA!


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan dan pembaca blog ini. Andai ada silap dan salah, maaf dipinta. Saya akhiri dedikasi raya ini dengan serangkap pantun ciptaan saya,


Patuhilah peraturan jalan raya
Memandu dengan hemah amalan kita
Aidilfitri di sambut riang gembira
Syukur kehadrat yang Maha Esa

Friday 26 September 2008

Siapakah Perempuan yang Beragama itu?

Saya ingin berkongsi input yang saya perolehi semasa membaca buku 'Aku Terima Nikahnya' yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Saya percaya kebanyakan rakan2 semua pasti mengenali penulis ini yang juga merupakan pengendali laman web saiful Islam.
Petikan yang saya paparkan disini mengupas Hadis Nabi SAW yang popular iaitu;

“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang memiliki agama, nescaya sejahteralah hidup,”
Artikel ini memberi fokus kepada kriteria yang ke-4 sahaja iaitu perempuan yang beragama. Saya berharap artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu kita memahami hadis tersebut atau membetulkan salah faham kita terhadap hadis ini, sekiranya ada. Ingin saya tekankan bahawa kupasan tersebut adalah pandangan penulis buku.
------

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang ustazah atau ustaz? Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Disinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.

Tetapi apakah TAHU itu merupakan maksud kita beragama dalam agama Islam ini? Sejauh mana gred ‘A’ yang digarap dalam subjek ‘PengeTAHUan Agama Islam’ menjadi bekal dan perisai generasi muslim dalam beragama?

‘Yang memiliki agama’ itu lebih luas daripada sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah sempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan ‘jenama TAHU agama’ tetapi apa yang lebih penting ialah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah.

Dia juga mungkin seorang jurutera atau doktor.

Dia mungkin bertudung labuh.

Dia juga mungkin belum bertudung, tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang ‘teachable’.
source:
Aku Terima Nikahnya
Hasrizal Abdul Jamil
----------------
Berdasarkan pemerhatian saya, boleh dikatakan agak ramai perempuan yang tidak bertudung semasa bujang, tetapi bertudung selepas berkahwin. Ini menunjukkan bahawa berkahwin dengan perempuan yang membuka dirinya untuk dibimbing dan mahu berhijrah ke arah yang lebih baik amat penting. Yang terlebih penting ialah si suami mahu dan boleh membimbing isterinya.
Situasi ini sama seperti perempuan yang ingin berkahwin tetapi tidak pandai memasak. Tidak pandai memasak, tidak mengapa, tetapi perempuan tersebut mestilah MAHU belajar memasak. Selepas seminggu dua, pandailah dia memasak (mungkin belum sedap lagi la). Sekiranya seseorang perempuan itu sudahlah tidak tahu memasak, TIDAK MAHU belajar dan MALAS memasak pula, mereka boleh dipanggil sebagai 'perempuan bermasalah'.
Sekian, wallahua'lam.

Friday 19 September 2008

Kisah Ramadhan

Pengalaman berpuasa pada tahun ini amat berbeza berbanding dengan tahun2 lepas. Pertama, berbeza kerana pada tahun ini, saya berpuasa penuh di Malaysia. Keduanya, berpuasa sebagai seorang yang sudah bekerja.
Kini, rutin harian saya; balik kerja kira2 jam 6 petang, terus menuju ke bazar ramadhan untuk membeli juadah berbuka dan balik ke rumah. Apabila sudah bosan dengan bazar ramadhan yang ini, saya pergi ke bazar yang lain pula. Sudah banyak jugalah makanan yang telah saya cuba sepanjang Ramadhan ini (nasi dagang je tak jumpa2). Berbuka pula, kebiasaanya bersama rakan serumah, kadang2 berbuka seorang diri (bosan2) dan kadang2 di luar (sama ada di masjid universiti apabila ada majlis2 tertentu ataupun memenuhi undangan berbuka rakan sekerja).
Waktu malam pula, terawih di surau. Surau di tempat saya tinggal hanya mengerjakan terawih 8 rakaat. Namun, surah2 yang dibaca agak panjang. Minggu lalu, seorang ADUN kawasan saya tinggal (orang PAS, hehe) telah mengimamkan solat isyak dan terawih di surau. Beliau juga turut memberi tazkirah kepada para jemaah. Inilah kali pertama saya melihat seorang wakil rakyat turun padang dan berjumpa dengan orang ramai tanpa liputan mana2 media dan bukan pada waktu hendak pilihanraya. Solat terawih pada malam tersebut tamat agak lewat iaitu kira2 jam 10 malam (itu baru 8 rakaat). Ini kerana ADUN PAS tersebut membaca surah2 panjang dan tazkirahnya agak lama.
Untuk sahur pula, kebiasaannya saya makan roti sahaja. Sekali sekala, saya keluar bersahur di kedai-kedai makan berdekatan.
Ramadhan pada tahun ini sudah tinggal sepertiga sahaja. Marilah kita sama2 meningkatkan amalan kita dalam 10 Ramadhan terakhir ini. Mudah2an malam Lailatul Qadar jatuh pada malam yang kita paling bersedia. Amin