Friday 14 May 2010

Rindu Malaysia

Salam,

Saya kini sedang berada di Abu Dhabi International Airport dalam perjalanan balik ke Malaysia. Transit time ialah 7 jam (fuhh...). Bila solat di surau tadi, tiba2 timbul rasa rindu kat Malaysia. Surau airport ni sebijik dgn surau2 di Malaysia. Terbayang fikiran betapa bebas dan mudahnya kita untuk beribadat di Malaysia sampai kadang2 kita lupa akan nikmat tersebut. Itulah nikmat dan kemudahan yang kita akan perolehi di negara2 Islam. Kalau di UK pula, solat di dalam fitting room ataupun lorong2 sunyi adalah kebiasaan.

Bercakap mengenai rindu dgn tanah air, teringat saya dgn nasib saudara Palestin kita. Kita selalu menggunakan term 'refugee' kepada Palestinians yang tinggal di kem2 di lubnan, eygpt, syria etc. Namun, term yg lebih tepat utk mereka ialah 'exile'. Sebagai orang yang 'exile', mereka sentiasa mahu untuk kembali ke tanah air mereka.  Kembali ke rumah asal mereka. Disebabkan rasa rindu inilah, mereka menamakan hospital2 di sekitar Beirut sebagai Gaza hospital, Haifa dan Akka supaya mereka tidak lupa akan asal usul mereka. Kebanyakan mereka juga membina rumah2 'baru' mereka seakan2 rumah lama yang mereka tinggalkan di Palestin.

Kalau kita menyingkap sirah Nabawiyyah pula, Nabi Muhammad dan juga kaum Muhajirin juga pernah rindu akan kota Mekah semasa berada di Madinah.

Itulah nature seorang manusia yg tidak akan lari dari merindui tanah air mereka. Semoga penantian berpuluh2 tahun saudara2 Palestin kita akan berakhir dan mereka dapat kembali ke tanahair mereka. Insha Allah. 

Tuesday 4 May 2010

Pemikiran Lapuk yg Perlu di ubah

Salam,

Satu artikel lama tulisan Ust. Mazlee Malik. Semoga bermanfaat.

Ketika saya pernah ditanyakan oleh salah seorang siswa, "Ustaz ni jemaah JIM ke?". Saya segera membalas, "Tidak, saya ahli jemaah Muslimin". Dia bertanya, "Jemaah baru ke tu?". Saya katakan kepadanya, "Tidak, ia telah wujud semenjak zaman Rasulullah S.A.W lagi". Beliau tidak berpuas hati, "Itu saya tahu, tapi kan ustaz ahli JIM". Saya membalas sambil tersenyum, "Ya, saya ahli JIM, ahli Darul Fitrah, ahli Persatuan Ulama Malaysia, ahli Muslim Profesional Forum, ahli Pertubuhan al-Nidaa, rakan kepada ABIM, Ricoi, Hunafa, Accin, US, PAS, keADILan, UMNO dan macam-macam lagi "jemaah". 

Siswa tersebut menggaru kepalanya kebingungan, terus dia bertanya lagi, "Jadi ustaz tidak berpendirianlah...atas pagar lah ye?". Soalannya kali ini benar-benar membuatkan saya tergelak besar. Saya sekali lagi mengatakan kepadanya, "Anda masih lagi hidup di zaman 70'an, 80'an dan 90'an...masih lagi di takuk pemikiran Jemaah Centrid"

Jemaah Centric

Ya, sememangnya pemikiran jemaah centric yang mendominasi pemikiran pencinta dakwah dan juga pejuang gerakan Islam di Malaysia selama lebih tiga dekad lalu. Impaknya amat ketara, selain daripada kesan positif yang mendorong kepada banyak perubahan di Malaysia, pemikiran jemaah centric juga menimbulkan banyak kesan negatif. Perbalahan, perpecahan, pergeseran hati, malah di sesetengah tempat membawa kepada pergaduhan.

'Jemaah ana lebih tua!', 'jemaah ana lebih tarbiah', 'jemaah ana lebih memperjuangkan sunnah', 'jemaah aku lebih agresif", 'jemaah saya lebih memperjuangkan khilafah', 'jemaah saya ada Imam Mahdi!' . Itulah di antara slogan-slogan yang sering berkumandang selama lebih tiga dekad di Malaysia di kalangan ahli pelbagai pertubuhan Islam. Akhirnya masing-masing tenggelam di dalam menegakkan jemaah masing-masing yang dianggap lebih utama, lebih awla, lebih "asalah" (tulen), lebih hebat dan lebih segala-galanya daripada jemaah-jemaah yang lain. Kesimpulannya, jemaah centric adalah satu pola pemikiran yang lebih banyak membawa kepada perpecahan daripada penyatuan! 

Lebih menyayat hati lagi ialah apabila para pendukung jemaah-jemaah yang berjuang demi nama jemaah masing-masing ini menggunakan dalil-dalil yang dipengaruhi oleh tafsiran nafsu mereka untuk menegakkan kebenaran "yang mereka dakwa". Contohnya dalil-dalil yang menyeru supaya umat Islam bersatu ditafsirkan agar bersatu di bawah satu jemaah, iaitu jemaah yang mereka perjuangkan sahaja. Begitu juga hadis-hadis yang menyeru agar umat Islam melazimi jemaah (iaitu kaum Muslimin) sering ditafsirkan sebagai bersatu di bawah "jemaahnya" sahaja dan bukannya jemaah lain. Hadis yang menghalalkan darah golongan yang meninggalkan jemaah Muslimin (meninggalkan agama Islam) juga ditafsirkan oleh sesetengah golongan yang taasub jemaah sebagai dalil untuk menghalalkan darah mereka yang bukan dari jemaah mereka. 

Tidak hairanlah di zaman 90'an, antara buku-buku "Haraki" yang timbul adalah berkaitan usaha menonjolkan "kebenaran" jemaah masing-masing. 'Haram ta'adud jamaah' (haram wujudnya lebih dari satu jemaah) dan 'wajib hanya ada satu jemaah di bumi Malaysia' menjadi slogan yang suci bagi sesetengah golongan seolah-olah menafikan kebaikan jemaah lain. Gejala takfir, menyesatkan, memulaukan dan juga memperkecil-kecilkan kumpulan lain juga menjadi satu "sunnah" sesetengah golongan pelampau pendukung pemikiran jemaah centric. Keadaan yang lebih parah dapat disaksikan di IPT yang menjadi gelanggang tarik menarik pelajar-pelajar baru oleh jemaah-jemaah ini. Di luar Timur Tengah keadaan semakin serius sehingga ada insiden tumbuk menumbuk dan juga pergaduhan demi mempertahankan jemaah masing-masing. Begitulah impak buruk pemikiran jemaah centric ini yang telah menjadi satu fitnah yang melanda umat Islam.

Maka, apakah penyelesaiannya? Apakah jemaah-jemaah yang wujud perlu dileburkan menjadi satu jemaah yang unggul sahaja? Dengan itu umat Islam semua akan bersatu di bawah satu panji "ummah" sahaja tanpa khilaf dan perpecahan! 

Bunyinya begitu indah, hakikatnya slogan-slogan tersebutlah yang akhirnya membawa kepada perpecahan yang lebih teruk. Slogan "kembali kepada satu jemaahlah yang telah menyebabkan krisis di antara jemaah berterusan, dari dulu, kini dan selamanya. Mengapa? Ini kerana tabiat manusia itu berbeza, gaya pemikirannya berlainan, tahap pemikiran tidak sama, dan manusia itu sendiri secara fizikalnya berbeza-beza. Perkara inilah yang telah disentuh oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya "al-Sahwah al-lslamiyyah baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa tafarruq al-mazmum"

Pemikiran "Ummah Centric"

Tiada salahnya kewujudan jemaah-jemaah selagi mereka berpaksikan pemikiran "Ummah Centric" dan bukannya "Jemaah Centric". Tidak salah wujudnya jemaah-jemaah selagi ia wujud sebagai organisasi untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah dan perubahan secara kolektif, dan tidak lebih daripada organisasi yang menghimpunkan ahli-ahli yang mempunyai persamaan dan keserasian untuk mencapai objektif yang sama. Tiada salah juga berjemaah selagi ia membawa kepada penyatuan tenaga untuk melakukan kerja-kerja Islam di bawah satu organisasi yang tersusun kemas selaras dengan seruan Allah SWT: "Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berperang di jalan-Nya di dalam satu barisan, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang kukuh"(al-Saff: ayat 3).

Jangan lebih daripada itu hendaknya. Jika adanya unsur 'jemaah saya yang utama', 'Jemaah saya yang paling hebat', 'jemaah saya yang paling hebat tarbiah', 'jemaah saya yang paling sunnah", 'jemaah saya yang paling ulama' dan lain-lain kredibiliti yang mengatasi kesatuan ummah, maka perpecahan akan segera timbul. 

Pemikiran 'Ummah Centric' perlu dihayati oleh seniua umat Islam seperti mana ia dihayati oleh umat terdahulu. Bukankah Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah aku." (al-Anbiya: ayat 92), dan juga firman Allah SWT, "Sesungguhnya mukmin tu bersaudara, maka damaikanlah dua saudaramu (yang bertelagah)." (al-Hujuraat: ayat 10). 

Begitu juga dengan hadis-hadis yang menekankan kepentingan ukhuwah dan kesatuan umat. Pemikiran ummatik inilah yang semestinya mencorakkan cara berfikir, cara berukhuwah, cara bertindak dan juga cara menilai sesuatu. Janganlah ada pilih bulu dalam berukhuwah, jika seseorang itu satu jemaah, maka itulah "sahabat", "ikhwah", "puak" atau golongan kita. Orang dari jemaah lain pula diberikan layanan kelas kedua, hanya kerana mereka bukan "ahli jemaah" kita. 

Dalam menuntut ilmu juga begitu juga hendaknya, dan bukannya sikap mengikuti atau mendengar atau menghadiri hanya kuliah-kuliah dan kelas-kelas pengajian "oghe-oghe kito" sahaja dan menutup telinga dan pintu hati pada orang-orang dari jemaah lain. Dalam membaca begitu juga, Janganlah hanya membaca literasi "harakah" yang versi "fikrah kita" sahaja dan memandang sepi literasi hasil tulisan orang-orang dari kumpulan lain, walhal kemungkinan apa yang ada pada orang lain itu lebih bermanfaat dan lebih baik. 

Pemikiran ummatik ini perlu disemadikan di dalam hati para pencinta Islam dan pejuang-pejuang syariat Islam agar segala usaha dirasakan sebagai tanggungjawab bersama.
Jika beroleh kemenangan, ia tidak akan dimonopoli oleh golongan-golongan tertentu sahaja, tetapi dirasakan sebagai milik semua. Jika ada kelemahan terhadap usaha orang lain, pihak yang nampak kelemahan tersebut, walaupun dari jemaah lain, akan segera membantu untuk memperbaikinya dan bukan menghentam atau menjadikannya sebagai hujah untuk menjatuhkannya. Pemikiran ummatik juga akan membuatkan semua jemaah melihat jemaah-jemaah lain sebagai rakan setugas, rakan sepasukan dan juga rakan seperjuangan, yang walaupun lain gaya bekerja, tetapi tetap di bawah satu majikan yang sama. 

Pemikiran ummatik juga akan menguatkan lagi usaha-usaha untuk tajdid, islah dan dakwah. Sinergi di antara jemaah di atas usaha-usaha bersama akan lebih banyak dan lebih memberikan impak. Tanpa prejudis, tanpa kebencian, tanpa hasad,tanpa fitnah memfitnah, tanpa jatuh menjatuhkan, tanpa hentam menghentam, dan yang penting lagi tanpa merasakan orang di luar jemaah kita adalah "orang lain". Jika semua pendukung jemaah-jemaah yang wujud dapat merasakan bahawa semua jemaah-jemaah dan juga orang-orang lain yang mungkin tidak berjemaah sebagai saudara seummah mereka, di waktu itu, insya-Allah keberkatan dan bantuan Allah akan turun. Hal ini perlu dimulakan segera, bermula dengan pemikiran dan juga hati!

Fiqh Ikhtilaf
 
Selain daripada berfikiran ummah centric, para pencinta Islam juga wajib menghayati flqh dan juga adab berikhtilaf. Kata-kata Imam al-Syafi'i yang berbunyi : "Pandanganku adalah benar menurut pendapatku, tetapi berkemungkinan silap, dan pendapat lawanku adalah silap pada pandanganku, tetapi berkemungkinan mengandungi kebenaran". Kata-kata al-Marhum Rashid Redha yang kemudiannya dipopularkan oleh Hassan al-Banna juga merupakan satu kaedah emas yang boleh dijadikan penawar di dalam menangani masalah perpecahan disebabkan pemikiran jemaah centric. 

Beliau berkata: "Kita bekerjasama di dalam perkara yang kita sepakati dan kita berlapang dada di dalam apa yang kita perselisihkan" 

Di dalam berikhtilaf semua pihak perlulah ikhlas dan benar-benar meletakkan Islam sebagai matlamat mereka dan bukannya jemaah atau fikrah. Bunyinya seperti mudah, namun pelaksanaannya tidak semudah diucapkan. Sekali lagi ia perlu bermula dari hati, dari pemikiran dan juga dari roh" ummah centric".    
  
* Centric membawa maksud : paksi, jemaah centric membawa maksud pemikiran berpaksikan jemaah, manakala ummah centric pula membawa maksud, pemikiran berpaksikan konsep satu ummah.

Sunday 2 May 2010

MKP Charity Dinner

Barisan AJK

Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah, majlis Makan Malam Amal Misi Kasih Palestin (MKP) 2010 anjuran Majlis Syura Muslimun (MSM) telah berjalan dengan jayanya pada 24 April lalu di Birmingham. Majlis ini telah dihadiri oleh kira-kira 180 tetamu dari seluruh United Kingdom dan Ireland. Majlis bermula pada jam 7.45pm dan tamat pada pukul 10.30pm. Sajian yang dihidangkan pada malam tersebut bertemakan makanan Arab. Tetamu juga diberikan ole-ole tamar dan kekacang yang di bawa terus dari Madinah.

Tiga penceramah telah menyampaikan perkongsian penuh makna iaitu Bro. Abdul Hamid Faruki (Viva Palestina), Mr. Shahool Hameed (Palestine Centre of Excellence, PACE) dan Ustaz Mazlee Malik (Durham University). Selain itu, Mr. Amjad Hamza daripada Human Appeal International (HAI) juga telah berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan kepada MSM atas sumbangan derma dan sokongan MSM ke atas Palestin yang berjumlah lebih daripada £7000 terhadap projek endoscopy di Gaza sebelum ini. Para tetamu juga telah dihiburkan dengan persembahan nashid daripada kumpulan Munawwar dan deklamasi sajak daripada saudara Naufal Jailani.

Seperti yang sedia maklum, antara objektif utama Majlis Makan Malam Amal MKP ialah untuk menjana derma untuk rakyat Palestin yang tertindas. Saya ingin mengambil peluang ini untuk memaklumkan kepada umum jumlah derma yang berjaya dijana pada malam tersebut. Jumlah derma yang berjaya diperoleh melalui jualan tiket adalah sebanyak £1626.36 manakala sponsor/derma sebanyak £596.25. Ini menjadikan jumlah keseluruhan derma yang berjaya dijana daripada Majlis Makan Malam MKP adalah sebanyak £2222.61. Alhamdulillah, Allahuakbar. Jumlah ini adalah jauh melebihi jangkaan pihak kami.

Ini menjadikan jumlah kutipan terkini derma MKP ialah sebanyak:
GBP 8868.08
EUR 219.92
MYR 67.17
CZECH 1000.00

Saya bagi pihak MKP ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para penderma budiman dan pembeli tiket yang hadir mahupun tidak hadir. Juga kepada AJK, penceramah, penaja, penyajak, kumpulan nasyid, sukarelawan dan semua yang membantu secara langsung dan tidak langsung. Semoga sumbangan dan usaha kerdil kita ini diterima oleh Allah dan menjadi pemberat amalan kita di akhirat kelak.

Ingatlah janji Allah dalam surah Al-Zalzalah ayat 7,

“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya” (99:7)
Saya akhiri tulisan ini dengan petikan ucapan En. Shahool Hameed daripada PACE:

Sekiranya rakyat Palestin bersedia menjadi saff di hadapan untuk mempertahankan tanah suci Islam, siapakah yang akan menjadi saff dibelakang jika tidak diri kita. Adakah kita masih boleh bergelak ketawa dan masih tidak peduli jika sekarang pihak musuh sedang cuba merobohkan Al Aqsa dan menggantikannya dengan kuil-kuil mereka. Apa yang akan kita jawab dihadapan Allah kelak?

Adakah hanya dengan malam ini sahaja sumbangan yang kita berikan untuk Palestin? Berilah bantuan berterusan dengan rezeki gaji yang diperolehi untuk peruntukan menyara dan mengambil anak angkat Palestin yang suatu hari nanti akan menjadi mujahid. Sekiranya kita tidak mampu berjihad insyaAllah saham anak-anak mujahid ini akan kita perolehi di akhirat kelak.

Disediakan oleh,

Abdul Rahman Mohmad
Misi Kasih Palestin 2010