Satu artikel lama tulisan Ust. Mazlee Malik. Semoga bermanfaat.
Ketika saya pernah ditanyakan oleh salah seorang siswa, "Ustaz ni jemaah JIM ke?". Saya segera membalas, "Tidak, saya ahli jemaah Muslimin". Dia bertanya, "Jemaah baru ke tu?". Saya katakan kepadanya, "Tidak, ia telah wujud semenjak zaman Rasulullah S.A.W lagi". Beliau tidak berpuas hati, "Itu saya tahu, tapi kan ustaz ahli JIM". Saya membalas sambil tersenyum, "Ya, saya ahli JIM, ahli Darul Fitrah, ahli Persatuan Ulama Malaysia, ahli Muslim Profesional Forum, ahli Pertubuhan al-Nidaa, rakan kepada ABIM, Ricoi, Hunafa, Accin, US, PAS, keADILan, UMNO dan macam-macam lagi "jemaah".
Siswa tersebut menggaru kepalanya kebingungan, terus dia bertanya lagi, "Jadi ustaz tidak berpendirianlah...atas pagar lah ye?". Soalannya kali ini benar-benar membuatkan saya tergelak besar. Saya sekali lagi mengatakan kepadanya, "Anda masih lagi hidup di zaman 70'an, 80'an dan 90'an...masih lagi di takuk pemikiran Jemaah Centrid"
Jemaah Centric
Ya, sememangnya pemikiran jemaah centric yang mendominasi pemikiran pencinta dakwah dan juga pejuang gerakan Islam di Malaysia selama lebih tiga dekad lalu. Impaknya amat ketara, selain daripada kesan positif yang mendorong kepada banyak perubahan di Malaysia, pemikiran jemaah centric juga menimbulkan banyak kesan negatif. Perbalahan, perpecahan, pergeseran hati, malah di sesetengah tempat membawa kepada pergaduhan.
'Jemaah ana lebih tua!', 'jemaah ana lebih tarbiah', 'jemaah ana lebih memperjuangkan sunnah', 'jemaah aku lebih agresif", 'jemaah saya lebih memperjuangkan khilafah', 'jemaah saya ada Imam Mahdi!' . Itulah di antara slogan-slogan yang sering berkumandang selama lebih tiga dekad di Malaysia di kalangan ahli pelbagai pertubuhan Islam. Akhirnya masing-masing tenggelam di dalam menegakkan jemaah masing-masing yang dianggap lebih utama, lebih awla, lebih "asalah" (tulen), lebih hebat dan lebih segala-galanya daripada jemaah-jemaah yang lain. Kesimpulannya, jemaah centric adalah satu pola pemikiran yang lebih banyak membawa kepada perpecahan daripada penyatuan!
Lebih menyayat hati lagi ialah apabila para pendukung jemaah-jemaah yang berjuang demi nama jemaah masing-masing ini menggunakan dalil-dalil yang dipengaruhi oleh tafsiran nafsu mereka untuk menegakkan kebenaran "yang mereka dakwa". Contohnya dalil-dalil yang menyeru supaya umat Islam bersatu ditafsirkan agar bersatu di bawah satu jemaah, iaitu jemaah yang mereka perjuangkan sahaja. Begitu juga hadis-hadis yang menyeru agar umat Islam melazimi jemaah (iaitu kaum Muslimin) sering ditafsirkan sebagai bersatu di bawah "jemaahnya" sahaja dan bukannya jemaah lain. Hadis yang menghalalkan darah golongan yang meninggalkan jemaah Muslimin (meninggalkan agama Islam) juga ditafsirkan oleh sesetengah golongan yang taasub jemaah sebagai dalil untuk menghalalkan darah mereka yang bukan dari jemaah mereka.
Tidak hairanlah di zaman 90'an, antara buku-buku "Haraki" yang timbul adalah berkaitan usaha menonjolkan "kebenaran" jemaah masing-masing. 'Haram ta'adud jamaah' (haram wujudnya lebih dari satu jemaah) dan 'wajib hanya ada satu jemaah di bumi Malaysia' menjadi slogan yang suci bagi sesetengah golongan seolah-olah menafikan kebaikan jemaah lain. Gejala takfir, menyesatkan, memulaukan dan juga memperkecil-kecilkan kumpulan lain juga menjadi satu "sunnah" sesetengah golongan pelampau pendukung pemikiran jemaah centric. Keadaan yang lebih parah dapat disaksikan di IPT yang menjadi gelanggang tarik menarik pelajar-pelajar baru oleh jemaah-jemaah ini. Di luar Timur Tengah keadaan semakin serius sehingga ada insiden tumbuk menumbuk dan juga pergaduhan demi mempertahankan jemaah masing-masing. Begitulah impak buruk pemikiran jemaah centric ini yang telah menjadi satu fitnah yang melanda umat Islam.
Maka, apakah penyelesaiannya? Apakah jemaah-jemaah yang wujud perlu dileburkan menjadi satu jemaah yang unggul sahaja? Dengan itu umat Islam semua akan bersatu di bawah satu panji "ummah" sahaja tanpa khilaf dan perpecahan!
Bunyinya begitu indah, hakikatnya slogan-slogan tersebutlah yang akhirnya membawa kepada perpecahan yang lebih teruk. Slogan "kembali kepada satu jemaahlah yang telah menyebabkan krisis di antara jemaah berterusan, dari dulu, kini dan selamanya. Mengapa? Ini kerana tabiat manusia itu berbeza, gaya pemikirannya berlainan, tahap pemikiran tidak sama, dan manusia itu sendiri secara fizikalnya berbeza-beza. Perkara inilah yang telah disentuh oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya "al-Sahwah al-lslamiyyah baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa tafarruq al-mazmum"
Pemikiran "Ummah Centric"
Tiada salahnya kewujudan jemaah-jemaah selagi mereka berpaksikan pemikiran "Ummah Centric" dan bukannya "Jemaah Centric". Tidak salah wujudnya jemaah-jemaah selagi ia wujud sebagai organisasi untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah dan perubahan secara kolektif, dan tidak lebih daripada organisasi yang menghimpunkan ahli-ahli yang mempunyai persamaan dan keserasian untuk mencapai objektif yang sama. Tiada salah juga berjemaah selagi ia membawa kepada penyatuan tenaga untuk melakukan kerja-kerja Islam di bawah satu organisasi yang tersusun kemas selaras dengan seruan Allah SWT: "Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berperang di jalan-Nya di dalam satu barisan, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang kukuh"(al-Saff: ayat 3).
Jangan lebih daripada itu hendaknya. Jika adanya unsur 'jemaah saya yang utama', 'Jemaah saya yang paling hebat', 'jemaah saya yang paling hebat tarbiah', 'jemaah saya yang paling sunnah", 'jemaah saya yang paling ulama' dan lain-lain kredibiliti yang mengatasi kesatuan ummah, maka perpecahan akan segera timbul.
Pemikiran 'Ummah Centric' perlu dihayati oleh seniua umat Islam seperti mana ia dihayati oleh umat terdahulu. Bukankah Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah aku." (al-Anbiya: ayat 92), dan juga firman Allah SWT, "Sesungguhnya mukmin tu bersaudara, maka damaikanlah dua saudaramu (yang bertelagah)." (al-Hujuraat: ayat 10).
Begitu juga dengan hadis-hadis yang menekankan kepentingan ukhuwah dan kesatuan umat. Pemikiran ummatik inilah yang semestinya mencorakkan cara berfikir, cara berukhuwah, cara bertindak dan juga cara menilai sesuatu. Janganlah ada pilih bulu dalam berukhuwah, jika seseorang itu satu jemaah, maka itulah "sahabat", "ikhwah", "puak" atau golongan kita. Orang dari jemaah lain pula diberikan layanan kelas kedua, hanya kerana mereka bukan "ahli jemaah" kita.
Dalam menuntut ilmu juga begitu juga hendaknya, dan bukannya sikap mengikuti atau mendengar atau menghadiri hanya kuliah-kuliah dan kelas-kelas pengajian "oghe-oghe kito" sahaja dan menutup telinga dan pintu hati pada orang-orang dari jemaah lain. Dalam membaca begitu juga, Janganlah hanya membaca literasi "harakah" yang versi "fikrah kita" sahaja dan memandang sepi literasi hasil tulisan orang-orang dari kumpulan lain, walhal kemungkinan apa yang ada pada orang lain itu lebih bermanfaat dan lebih baik.
Pemikiran ummatik ini perlu disemadikan di dalam hati para pencinta Islam dan pejuang-pejuang syariat Islam agar segala usaha dirasakan sebagai tanggungjawab bersama.
Jika beroleh kemenangan, ia tidak akan dimonopoli oleh golongan-golongan tertentu sahaja, tetapi dirasakan sebagai milik semua. Jika ada kelemahan terhadap usaha orang lain, pihak yang nampak kelemahan tersebut, walaupun dari jemaah lain, akan segera membantu untuk memperbaikinya dan bukan menghentam atau menjadikannya sebagai hujah untuk menjatuhkannya. Pemikiran ummatik juga akan membuatkan semua jemaah melihat jemaah-jemaah lain sebagai rakan setugas, rakan sepasukan dan juga rakan seperjuangan, yang walaupun lain gaya bekerja, tetapi tetap di bawah satu majikan yang sama.
Pemikiran ummatik juga akan menguatkan lagi usaha-usaha untuk tajdid, islah dan dakwah. Sinergi di antara jemaah di atas usaha-usaha bersama akan lebih banyak dan lebih memberikan impak. Tanpa prejudis, tanpa kebencian, tanpa hasad,tanpa fitnah memfitnah, tanpa jatuh menjatuhkan, tanpa hentam menghentam, dan yang penting lagi tanpa merasakan orang di luar jemaah kita adalah "orang lain". Jika semua pendukung jemaah-jemaah yang wujud dapat merasakan bahawa semua jemaah-jemaah dan juga orang-orang lain yang mungkin tidak berjemaah sebagai saudara seummah mereka, di waktu itu, insya-Allah keberkatan dan bantuan Allah akan turun. Hal ini perlu dimulakan segera, bermula dengan pemikiran dan juga hati!
Fiqh Ikhtilaf
Selain daripada berfikiran ummah centric, para pencinta Islam juga wajib menghayati flqh dan juga adab berikhtilaf. Kata-kata Imam al-Syafi'i yang berbunyi : "Pandanganku adalah benar menurut pendapatku, tetapi berkemungkinan silap, dan pendapat lawanku adalah silap pada pandanganku, tetapi berkemungkinan mengandungi kebenaran". Kata-kata al-Marhum Rashid Redha yang kemudiannya dipopularkan oleh Hassan al-Banna juga merupakan satu kaedah emas yang boleh dijadikan penawar di dalam menangani masalah perpecahan disebabkan pemikiran jemaah centric.
Beliau berkata: "Kita bekerjasama di dalam perkara yang kita sepakati dan kita berlapang dada di dalam apa yang kita perselisihkan"
Di dalam berikhtilaf semua pihak perlulah ikhlas dan benar-benar meletakkan Islam sebagai matlamat mereka dan bukannya jemaah atau fikrah. Bunyinya seperti mudah, namun pelaksanaannya tidak semudah diucapkan. Sekali lagi ia perlu bermula dari hati, dari pemikiran dan juga dari roh" ummah centric".
* Centric membawa maksud : paksi, jemaah centric membawa maksud pemikiran berpaksikan jemaah, manakala ummah centric pula membawa maksud, pemikiran berpaksikan konsep satu ummah.
10 comments:
nice,agreed with the explanation.
centric ni teringat talk ustaz mazlee pasal peradaban dunia
pening tapi perlu difahami
pasal jemaah
teringat soalan baim dalam agm
'kenapa usrah di sheffield ni ada banyak? isma la, msm la, smsa la. tak ke ini memeningkan pelajar2 1st year'
rahman ade jawapan?
jawapan tu xdela tapi pendapat tu ada.
pertama pelajar2 perlu tahu dan kenal apa itu smsa, msm dan lain2. kita perlu terangkan yg smsa ni msian society di Shef. aktiviti smsa di sgt variety dari sambutan raya, aktiviti agama, sports sampailah event dgn student union.
MSM pula ialah badan dakwah dan tarbiah bukan shj di Shef, tapi di seluruh UK dan Ireland dan disetiap lokaliti tu ada cawangan ie MSM Sheffield.
kalau based on my experience sejak dulu. usrah ni bukanlah major strength smsa. strength smsa terletak pd tmpt lain. sebab itulah usrah smsa x jalan sgt. sebab utamanya naqib/ah tak faham kenapa perlu adanya usrah tu sendiri. apakah halatuju usrah tu. adakah usrah tu hanya aktiviti tahunan yg biro agama? atau adalah halaqah utk share ilmu agama and that's it. atau usrah tu medan utk kita berukhuwah, ditarbiah, menyusun strategi dan develop potensi2 terpendam ahli usrah? mungkin smsa melihat usrah itu begitu tapi msm melihatnya begini. isma pula berbeza.
setiap organisasi itu berbeza dan secara nature nya melihat usrah tu berbeza.
insha Allah, once diorg faham setiap organisasi tu, diorg tak pening la.
student baru ni akan jadi pening bila adanya gejala2 tak sihat spt fitnah memfitnah dan buruk memburukkan organisasi lain. contohnya, sorg pelajar baru tu baru nk berjinak2 dgn organisasi A. pastu dtg pulak org dari organisasi B kata, 'tak perlu join usrah A tu, depa memecahbelahkan umat'. Lah, kata badan dakwah, tapi memecahbelahkan umat? ni apa kes? hah, konfem students tu akan pening.
so, pendapat saya, student baru tu pening bukan sbb adanya usrah smsa, msm, isma etc. tapi diorg pening kalau gejala tak sihat spt diatas berlaku. wallahua'lam
pergh,mantap ar rahman nyer pndgn.
ssh btol nk elak fitnah di akhir zmn ni kan?...:(
Mengenali insan yang bertanya sewaktu AGM dan mengenali insan yang bertanya di sini, aku boleh menjawab dengan lebih telus.
Maaf rahman kerana mencelah tetapi hal ini sangat menarik perhatian dan sewaktu agm hari tu agak rasa tak puas hati kerana rasa-rasanya perkara itu lebih sesuai tidak di ceritakan secara public dan lebih elok sekiranya bertanya secara personal.
Kenapa aku kata begitu? kerana ada insan yang tidak tahu pun mengenai kehadiran jamaah ini dan perkara2 seperti inilah menyebabkan orang makin takut untuk menghampiri islam.
Dan aku sangat setuju dengan jawapan rahman bila dia berkata usroh smsa tidak berjalan. berapa sangat naqib yang smsa lantik menjalankan tugas mereka? macam joe jawab hari tu, ada silibus yang telah ditetapkan tetapi bukan itu yang menjadi concern aku tapi yang menjadi concern aku ialah berapa ramai naqib yg smsa pilih sanggup mengorbankan masa untuk menjalankan usroh secara konsisten dan memastikan usroh itu berjaya? dan dari observation aku sebagai 1st year, sorry to say I dont see any of them are working. Correct me if I'm wrong. I just cant see it.
Dan sebab itu wujudnya msm,isma dan ada lagi kita masing-masing tahu cuba untuk mengisi lompong2 ini. dan setiap satu jemaah ini ada fikrah mereka atau misi mereka masing-masing. Aku jelas dengan misi setiap jamaah ini dan sebab itu aku commit untuk satu jamaah dan berlapang dada dengan jamaah lain kerana aku tahu setiap satu jamaah ini menyeru ke arah islam dan orang dalam jamaah lain yakin misi jamaah mereka adalah yang paling baik.
Yang menjadi masalahnya apabila orang2 yang berdakwah ini tiada kefahaman untuk menghormati jamaah lain. macam rahman cakap, jamaah lain diburuk-burukkan padahal kita tahu yang semua jamaah ini menyeru ke arah islam. Apabila ini terjadi, situasi ini lah yang kita panggil seruan ke arah jemaah bukan ke arah islam.
kesimpulan dari panjang2 ni, penerangan pertama adalh untuk soalan mengapa ada usroh msm, isma dan you-know-who. menjadi naqib ini bukan mudah, naqib kena ingat yang rosaknya anak buah adalah kerana rosaknya naqib.
penerangan kedua adalah untuk soalan mengapa perkara ini akan memeningkan pelajar2 1st year.
sorry rahman kerana macam buat entri baru lak kat sini tapi aku personally amat terasa apabila orang menyeru kearah jemaah dan bukan kearah islam.
Salam,
Nak tambah sedikit...hasil daripada usrah adalah kefahaman yg sahih tntg islam..yg mana tanda2 awalnya adalah perubahan peribadi pd luar dan dalam diri seseorang..amal soleh hidup dalam diri...bukan hanya sekadar melaungkan islam dan berperwatakan islamic.. tetapi perangai jahiliyah seperti fitnah dan buruk sangka...masih tidak selesai
satu lagi,
smsa betul ada silibus..tapi berulang2...ada tu sampai dah ulang banyak kali.....bagaimana mau meningkat jika benda sama dibawa? saya rasa smsa kena kaji semula silibus itu. Macam sekolah juga. kalau dah tak berkesan pelajarannya maka ditukar subjectnya..
komen ni bukan untuk sisihkan semsa jauh sekali menghina..tapi untuk membaiki..saya rasa bahagian biro agama smsa perlu berbuat sesuatu.
Joe camana pandangan anda?
saya pun terkilan dengan program smsa baru ni, program makan malam ala zoro, dan ala boro.. waduh pakaiannya sidara ketat2, dan siteruna jeling-jelingan.. apa tu sihhh... mana abg2 dan teguran etika pakaian dari ajk lain dan biro agamanya... itukan jelik, kurang manis... inikan lagi mahu bicara pasal usrah dan program islami, gaban gitu..
kalau di lihat dari gambarnya..ada sahaja abg2 tua yang join...mungkin dia cuba untuk merubahnya ...namun masih gagal..........tapi yang dipelikkan kenapa tidak keluar sahaja dari majlis itu. bukankah tidak elok.. aku masih cuba lagi positif tapi gagal...
smsa....smsa kemanakah hala tuju mu??
Opinion and advice from our senior bros and sis must take to account. Especially in program which involved men/women or boy/lady together... syariah have to give first priority... insyaallah we will get redha Allah... cheers
Post a Comment