Empat sikap utama telah muncul di tengah umat Islam dalam menentukan pendirian terhadap dunia barat.
Pertama: Di kalangan mereka ada yang menerima apa sahaja dari Barat dan menolak agama serta tidak menghiraukan langsung nas-nas agama. Ini seperti tokoh sasterawan Mesir, Taha Hussain. Beliau menyeru agar Mesir mencontohi dan meninggalkan keislamannya untuk maju kehadapan.
Katanya dalam bukunya Mustaqbal al-Thaqafat fi Misr (Masa Depan Ilmu Dan Kebudayaaan Di Mesir): “Kita mesti mengikut jejak langkah orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamadunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicercai.”
Bahkan lebih dari itu beliau menyebut: “Ini semua menunjukkan kita pada zaman moden ini ingin berhubung dengan Barat dengan satu perhubungan yang bertambah kuat dari hari ke hari. Sehingga kita menjadi sebahagian daripada mereka secara lafaz dan makna, hakikat dan rupa.”
Katanya juga: “Hendaklah kita menjadikan Barat merasai bahawa kita melihat setiap perkara sama seperti yang Barat mahu, kita menilai setiap perkara sama seperti yang Barat nilai dan kita menghukum setiap perkara sama seperti Barat menghukumnya.”
Golongan yang kedua: Mereka tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi apa yang mereka lakukan adalah cuba mentafsirkan nas-nas Islam agar sesuai dengan kehidupan moden di Barat. Apa sahaja nas al-Quran atau al-sunah yang menyanggahi Barat akan cuba ditakwil sedaya upaya agar dapat disesuaikan dengan cara hidup di Barat.
Bagi mereka seolah-olah kehidupan Barat adalah asas dan nas-nas mesti disesuaikan dengannya. Sedangkan dalam prinsip Islam nas-nas al-Quran adalah asas dan kehidupan mesti disesuaikan dengannya bukan sebaliknya. Ini seperti yang disebut oleh al-Qaradawi: “Mereka menuntut agar Islam berubah tetapi mereka tidak meminta agar perubahan diislamkan.”
Umpamanya mereka menyerang kesopanan pakaian wanita Islam. Ini kerana ia bercanggah gaya hidup wanita Barat. Namun percayalah sekiranya wanita Barat memakai purdah, pasti mereka sungguh- sungguh mencari dalil menyokong amalan itu. Kalau wanita Barat bertudung nescaya bersungguh-sungguh mereka kumpulkan dalil wajib bertudung kepala.
Oleh kerana mereka melihat wanita dunia Barat mendedahkan diri tidak seperti wanita Islam maka segala nas agama cuba ditafsirkan agar bersesuai dengan keadaan tersebut. Mereka ini tidak menyatakan yang mereka ingin tinggalkan agama, tetapi mereka tafsirkan agama agar seiras dengan pandangan-pandangan umum yang diterima oleh masyarakat Barat. Sedangkan, disiplin asas dalam pengkajian nas (teks) hendaklah nas-nas yang menentukan sesuatu keputusan bukan keputusan yang menentukan tafsiran nas.
Kata Dr. Salah al-Khalidi: “Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran yang luas dengan cara yang tidak betul. Di kalangan mereka ada yang membawa bersamanya (dalam memasuki alam al-Quran) himpunan ilmu pengetahuan, kebudayaan, akhlak, adat istiadat dan sikap yang bertentangan dengan arahan al-Quran, maka cahaya al- Quran terhalang darinya.
"Ada pula yang memasuki alam al-Quran dengan suatu pemikiran sebelumnya yang mengganggu fikirannya ketika dia melihat al-Quran maka terhalanglah pandangannya, lantas dia terjatuh dalam kekaburan dan kekeliruan.
"Ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latar belakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehnya maka dia menyelewengkan jalannya, memutarbelitkan, memaksa-maksa dalil dan nas dan memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya.”
Dengan melalui kaedah yang salah ini, segala dalil akan ditafsirkan agar serasi dengan kehendak yang diputuskan. Mereka bukan ingin mengikut al-Quran, sebaliknya mereka mengambil tindakan terlebih dahulu dan kemudian mencari dalil dari al-Quran dan al-sunah lalu ditafsir agar selaras dengan tindakan yang telah mereka ambil.
Maka, al-Quran dan al-sunah tidak lagi mempunyai fungsi membimbing, sebaliknya hanya sebagai ‘cop’ untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Sementara kayu pengukur sebenar tindakan mereka, adalah pegangan umum di Barat yang mereka lihat diterima di Barat.
Golongan ketiga: Adalah golongan yang menolak apa sahaja daripada Barat. Bagi mereka semua yang berasal dari Barat adalah kufur atau sesat, atau sekurang-kurangnya bercanggah dengan Islam. Mereka tidak membezakan antara sikap, kebudayaan, nilai-nilai yang tidak menyanggahi Islam, dengan perkara-perkara yang menyanggahinya. Sehingga pernah golongan yang seperti ini menentang pakaian ‘neck-tie’, makan bersudu-garpu, bercakap ‘orang putih’ dan seumpamanya.
Alasannya semua itu berasal dari Barat. Bahkan di sesetengah pusat pengajian agama sehingga ke hari ini ada yang menganggap mata pelajaran Sains, Matematik, Geografi, dan seumpamanya sebagai pelajaran sekular dan keduniaan. Lalu mereka tidak mementingkannya, bahkan ada yang memandang jelik terhadapnya.
Sikap terlalu memusuhi Barat telah menyebabkan mereka lupa bahawa mata pelajaran tersebut berkhidmat untuk umat Islam, bahkan kebanyakan asasnya diletakkan oleh umat Islam pada zaman kegemilangan tamadun mereka. Islam adalah agama dunia dan akhirat.
Bahkan sikap mereka mengasingkan perkara-perkara tersebut dari agama itulah yang berbau sekular. Mereka juga lupa bahawa dada Islam itu luas untuk mengambil manfaat dari mana-mana sudut yang membawa kebaikan kepada manusia. Dengan syarat ia tidak boleh bertentangan dengan al-Quran dan al-sunah.
Golongan keempat: Menapis apa yang ada di Barat dengan tapisan Islam. Kemajuan diakui. Bahkan kemajuan yang dinikmati di Barat adalah cedokan dari kemajuan yang pernah wujud di dunia Islam dahulu. Islam tidak pernah menyatakan ia memusuhi Barat atau Timur, Utara atau Selatan. Bukan semua yang ada di Barat mesti ditolak. Seperti bukan semua yang ada di Timur diterima. Entah berapa banyak sikap atau budaya Barat itu mendekati kehendak Islam seperti tekun, menepati waktu, kebersihan dan seumpamanya.
Demikian entah berapa banyak budaya setempat; seperti suka mengumpat, dengki-mendengki, malas berusaha dan sebagainya amat menyanggahi Islam. Timbangannya ialah tafsiran yang betul terhadap nas-nas al-Quran dan al-sunah.
Islam adalah agama yang hidup dan sesuai untuk segala masa dan zaman. Kemajuan yang dicapai oleh Barat patut diberi penghormatan juga penapisan secara adil. Hendaklah dibezakan bahawa dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap tidak boleh diubah. Di samping ada juga perkara-perkara tertentu yang terdedah kepada perubahan tempat dan zaman.
Kefahaman yang seperti inilah pendirian golongan umat Islam yang lurus dengan agamanya. Pandangan dan pegangan di Barat tidak boleh ditolak mentah-mentah, seperti ia juga tidak boleh ditelan bulat-bulat.
Dengan penuh kesedaran kita selalu menyebut masih ada perkara-perkara yang berhajat kepada semakan yang membabitkan kefahaman dan amalan umat Islam. Pintu ijtihad itu terus terbuka sehingga hari kiamat. Tiada siapa pun berhak menutupnya.
Namun hendaklah dibekalkan dalam jiwa pengkaji agama ini perasaan takutkan Allah dalam menghuraikan hukum syarak. Ijtihad itu berteraskan ilmu, bukan kejahilan dan nafsu. Banyak juga perkara baru yang ditimbulkan oleh kemajuan Barat perlu dinilai dengan perasaan yang adil dan saksama. Bahkan banyak nilai di Barat yang lebih mendekati Islam dibandingkan apa yang berlaku atau diamalkan di dunia Islam.
Mufti Kerajaan Negeri Perlis
http://www.drmaza.com/
Saya berpendapat artikel ini ialah hasil daripada pemikiran yang adil, kritikal, kajian yang mendalam dan mempunyai nilai-nilai intelektual yang tinggi.
No comments:
Post a Comment