Sunday 30 December 2007

Sambutan Hari Raya Aidiladha

Kami di Sheffield menyambut Aidiladha pada hari Rabu 19 Disember, sehari awal daripada Malaysia. Seperti kebiasaannya, pihak PMPMS telah menganjurkan majlis solat hari raya di PMC khas untuk warga Malaysia. Disebabkan hari raya jatuh pada hari bekerja, jamuan makan berkonsepkan 'potluck' telah diadakan selepas solat.

Masjid atau lebih dikenali di sini dengan Islamic Centre (IC) mengadakan 2 sesi solat hari raya; 8.30 pagi and 10 pagi. Dua sesi solat diadakan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang mempunyai komitment kerja untuk hadir dan mengelakkan daripada masjid penuh sesak.

Pada malam hari Jumaat, IC telah mengadakan Eid Party. Saya dan beberapa orang rakan menghadiri majlis tersebut. Ini merupakan kali pertama saya hadir ke Eid Party anjuran IC walaupun telah hampir empat tahun menetap di Sheffield. Tujuan utama kami datang ialah untuk makan. Bukannya selalu dapat makan percuma di IC. Jadi, kami datang ke majlis tersebut dengan perut kosong dengan harapan akan terhidang pelbagai jenis makanan yang enak-enak.

Walau bagaimanapun, majlis tersebut tidak seperti yang kami jangkakan. Majlis tersebut lebih menjurus kepada aktiviti-aktiviti atau 'games' dan bukannya makan semata-mata. Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Al-Quran, nasyid dan diikuti dengan ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai polis beragama Islam mengenai jenayah di kalangan remaja Islam di UK.

Aktiviti seterusnya ialah kuiz. Para hadirin dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan dianggotai oleh 7 hingga 8 orang. Soalan-soalan terbahagi kepada 7 kategori iaitu

Pengetahuan Islam, tazkiyah, astronomi, perubatan 1, perubatan 2, geografi dan sejarah

Soalan-soalan yang diutarakan susah sekali. Sebagai contoh, apakah surah di dalam al-Quran yang menceritakan hanya kisah seorang nabi, mengenalpasti surah Makkiyah daripada senarai surah-surah, nama lapisan yang menyebabkan terbentuknya gunung, jenis-jenis satelit dan macam-macam lagi.

Walau bagaimanapun, saya bernasib baik kerana ahli kumpulan saya datang dari pelbagai latarbelakang. Kuiz tersebut menyedarkan saya bahawa ilmu agama yang saya miliki cetek sekali. Terlalu banyak perkara yang tidak saya ketahui dan tidak ambil tahu. Saya juga berasa kagum dengan beberapa ahli kumpulan saya yang berkulit hitam yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.

Selepas tamat pusingan pertama, 'games' berbentuk fizikal pula diadakan. Peserta dikehendaki berlari hingga ke tengah, 'press-up' sebanyak 10 kali, kemudian lari ke hujung, ambil belon, patah balik ke tengah, pecahkan belon dan lari ke tempat mula. Kumpulan yang paling banyak menghabiskan rutin tersebut dalam masa 1 minit adalah pemenangnya. Di sini, mereka tidak kisah sekiranya kita bermain ataupun berlari di dalam masjid. Keadaan ini berbeza dengan di Malaysia. Saya percaya tidak akan ada seorang pun yang berani untuk mengadakan sukaneka di dalam masjid di Malaysia.

Kemudian, kuiz di sambung semula. Selepas itu, pentandingan makan pula diadakan. Setiap peserta dikehendaki memakan 7 keping biskut kering dan peserta yang paling pantas menghabiskan kesemua biskut tersebut adalah pemenangnya. Air mineral diletakkan disebelah pinggan, tetapi ia hanyalah untuk pembuka selera. Peserta yang meminum air tersebut sebelum menghabiskan kesemua biskut dikira terkeluar. Alangkah sengsaranya untuk menghabiskan kesemua biskut tersebut. Rahang saya juga menjadi terlalu lenguh untuk menguyah. Namun, disebabkan perut saya kosong pada ketika itu, saya berjaya mendapat tempat kedua. hehe

Seterusnya, pusingan terakhir kuiz diadakan.

Aktiviti terakhir ialah pertandingan berucap. Peserta mendapat tajuk yang ditentukan secara rawak. Selepas tajuk dibacakan, peserta hendaklah terus berucap mengenai tajuk tersebut selama 90 saat tanpa berhenti, tergagap-gagap ataupun menyampaikan isi yang berulang-ulang. Rakan saya, Mas Afzal berjaya mendapat tempat pertama. Kejayaannya membuktikan bahawa walaupun bahasa Inggeris merupakan bahawa kedua kita namun, tidak mustahil kita dapat menguasainya dengan baik, lebih baik daripada orang yang menuturkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama.

Kira-kira jam 11 malam, majlis diakhiri dengan jamuan ringan. Kami dijamu dengan 'pastry' dan jus buah-buahan. Tiada nasi baryani, kari kambing mahupun ayam masak merah seperti yang diharap-harapkan.

Saya tidak menjangka yang saya akan berasa seronok menyertai aktiviti-aktiviti tersebut. Pada pendapat saya, aktiviti-aktiviti tersebut menjadi menarik kerana mempunyai kepelbagaian. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan mempunyai unsur-unsur pemikiran, fizikal dan lain-lain.

Keesokkan harinya, majlis hari raya anjuran PMPMS pula diadakan. Kali ini, majlis tersebut adalah ala Malaysia dan tentatifnya seperti yang dijangkakan. Aktiviti dimulakan dengan ceramah mengenai penghayatan korban, solat isyak berjemaah dan diakhiri dengan jamuan makan. Kami dijamu dengan nasi baryani, ayam masak merah, kurma kambing, kari kambing, rojak nenas, kuih-muih dan banyak lagi.

Majlis hari raya anjuran IC dan PMPMS mempunyai pendekatan yang amat berbeza. Ini adalah berpunca daripada perbezaan budaya dan pemikiran. Saya berasa bertuah kerana berpeluang untuk merasai kedua-dua majlis yang berbeza ini.

Friday 21 December 2007

Erti Persahabatan............

Sedarkah kita bahawa seseorang itu menjadi rapat dengan orang lain sekiranya mereka mempunyai persamaan.

Sekiranya persamaan tersebut sudah tidak lagi releven, hubungan persahabatan tersebut akan mulai suram. Sebagai contoh, seseorang itu mungkin rapat dengan rakan serumahnya, akan tetapi apabila mereka sudah tidak tinggal sebumbung, persahabatan tersebut mula menjadi renggang.

Si X dan si Y mungkin merupakan sahabat yang baik kerana kedua-duanya belajar di UK. Akan tetapi, apabila si X kembali ke Malaysia selepas tamat pengajian tetapi si Y masih lagi di sana, mereka sudah kehilangan persamaan. Bagi pelajar-pelajar di luar negara, cuba ingat kembali berapa ramai rakan-rakan atau senior anda yang telah pulang ke tanahair yang masih lagi rapat dengan anda sebagaimana rapatnya anda berdua semasa berada luar negara.

Sama juga seperti rakan-rakan sebaya di universiti yang kebanyakannya akan ditinggalkan apabila masing-masing mengikut haluan kerjaya yang berbeza.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa persahabatan tidak memerlukan sebab. Akan tetapi, secara realitinya, persamaan yang dikongsi bersama itulah yang menjadi penyebab yang merapatkan lagi hubungan seseorang.

Bagaimana kita hendak menjadi seorang sahabat yang sejati sekiranya kita mengetahui bahawa persahabatan tersebut hanyalah sementara? Bolehkah kita mengasihi seseorang walaupun mengetahui bahawa kita akan meninggalkannya? Hanya disebabkan oleh persamaan yang bakal tidak dikongsi bersama?

Persahabatan pastinya bersifat sementara sekiranya ia terbina atas persamaan yang hanya bersifat sementara. Sama kelas, sama sekolah, sama 'batch', sama universiti, semuanya bersifat sementara. Namun, persahabatan akan berkekalan sekiranya terbina oleh persamaan yang bersifat kekal.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu menerima hakikat bahawa bersahabat, kemudian berpisah, bersahabat baru, berpisah, ............. merupakan satu proses putaran yang pasti akan dialami oleh setiap insan.

Walaupun kebanyakan persahabatan yang kita lalui hanya bersifat sementara, kita harus menghargainya, berusaha untuk menjadi seorang sahabat yang terbaik dan mengasihi sahabat kita seolah-olah kita akan bersahabat dengannya selama-lamanya.